Ditubuhkan
pada 24hb November 1993, Wahana
telah pun berkecimpung dan mendalami seni Dikir ini selama
7 tahun. Pengalaman dan Penampilan bukan sahaja telah mendidik
kami memahami kriteria, konsep serta citarasa para pengadil yang
berasingan, malah juga bersikap fleksibel terhadap pembaharuan
dan penekanan yang tidak berasingan dengan kesenian yang tulen.
Sebagai sebuah kumpulan wanita yang berwibawa dan meneraskan kepentingan
seni dan budaya, kami di bawah naungan dan bimbingan
Kelana Purba semestinya juga harus mengharungi liku-liku
kesenian yang henis dan mencabar.
Pertandingan
Mega Perdana 2000 adalah pertandingan dikir barat yang terakhir
sejak baru-baru ini. Meskipun di pertandingan tersebut, Wahana
gagal mempertahankan gelaran Kumpulan Wanita Terbaik, namun kegagalan
itu bukanlah bermakna tewasnya Wahana
di Medan Seni ini. Pasang Surutnya sesebuah Kumpulan itu adalah
lumrah di dunia para aktivis. Sebaliknya, bagi Wahana,
kegagalan itu kami jadikan dorongan supaya lebih berkobar-kobar
memperjuangkan seni ini di masa hadapan. Kegagalan bukan bererti
pengunduran ataupun lenyapnya kami dan begitu juga, Kemenangan
bukan bererti kemegahan ataupun kebanggaan. Kutukan dan cemuhan
kami jadikan teladan dan rangsangan dalam perjuangan kami ini.
Kini,
Wahana sedang giat mengasuh
anggota-anggota baru kami supaya dapat meneruskan pengembaraan
Wahana di persada seni ini.
Jadual latihan kami dimuatkan pada hujung minggu supaya kami,
sekumpulan, dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada
anggota-anggota baru kami. Sememangnya, Wahana
inginkan yang terbaik bagi para ahlinya, baik yang masih baru
mahupun yang sudah lama bergiat di dalam seni ini. Semana yang
terdaya, kami inginkan Wahana
agar terus cemerlang di mata para aktivis seni ini. Insya'Allah,
Wahana akan terus meneroka
dan menyebarkan pengaruhnya untuk memajukan seni Dikir Barat
di kalangan kaum Hawa buat jangka masa yang lebih panjang
lagi.
Tepukan,
Suara mengiring Rebana
Langkahnya satu, pincangnya tiada
Wahana menghilang hanya seketika
Nadinya ghairah digertak resah