| Sejarah Kelana Purba  |  Rumah Kelab | Hierarchy | Lyrics | Picture Gallery | Pengenalan - Wahana Dek'su |

SEJARAH DIKIR BARAT

Dikir barat di Singapura dikesan pada tahun 1975 di sebuah sekolah - Sekolah Victoria. Mereka mempersembahkan dikir barat hasil daripada minat beberapa orang murid sekolah itu di Pesta Dendang Rakyat di kaca TV. Walaupun cara persembahan mereka tidak teratur, namun dari merekalah berputiknya budaya dikir barat hingga ke hari ini. Dikir Barat Sekolah Victoria menjadi begitu popular dan mereka diundang untuk membuat persembahan di sekolah-sekolah, balai rakyat dan juga majlis perkahwinan. Tahun demi tahun, mereka memperbaiki persembahan mereka dan dengan secara tidak langsung, telah membentuk cara permainan dikir barat Singapura.

  • 1984
    Maktab Rendah Nanyang membuka lembaran baru dikir barat dengan menganjurkan pertandingan Gema Dikir Barat. Gema Dikir Barat telah mendapat sambutan yang begitu baik dari tahun ke tahun. Peraduan tersebut telah melahirkan beberapa orang aktivis dikir barat yang telah menyebarkan budaya ini ke seluruh pelusuk negara.
  • 1989
    Majlis Pusat yang selama ini memerhatikan pergerakan budaya dikir barat, menganjurkan Peraduan Dikir Barat Nasional sempena Bulan Budaya Melayu. Sambutan yang diterima begitu di luar jangkaan dan ini mendorong Majlis Pusat untuk terus menganjurkan peraduan dwitahunan itu yang kemudian dikenali sebagai Perdana pada tahun 1993 & 1995.
  • Januari, 1993
    Satu lagi titik sejarah dikir barat di Singapura ialah pertubuhan Gabungan Dikir Barat Singapura pada waktu itu. Gabungan, yang dianggotai beberapa aktivis tempatan, telah mengorak langkah dalam membentuk dikir barat ala Singapura dengan sedikit-sebanyak memperbetulkan cara persembahan. Ini telah menghasilkan seni dikir barat yang lebih teratur, unik dan kreatif di Singapura.
  • 1997
    Merupakan tahun pertama Gabungan menganjurkan Perdana dan mula menjadi badan utama bagi penggerak seni dikir barat setempat.
1997 juga merupakan tahun yang bersejarah apabila kumpulan Kelana Purba dari Balai Rakyat Bedok mempelopori penganjuran Anugerah Dikir '97. Dengan sokongan Gabungan, beberapa aktivis yang cemerlang dan berbakat telah dianugerah dan diberi pengiktirafan oleh para penggerak seni setempat. Ia terus menjadi satu majlis anugerah dwitahunan dan telah mendorong aktivis-aktivis seni dikir untuk meningkatkan lagi tahap persembahan mereka untuk mengejar anugerah khas ini.

Mega Perdana 2000 telah berjaya memacak seni dikir barat ke tahap tertinggi apabila ia dirakamkan di TCS dan disiarkan di televisyen melalui Suria 12. Penduduk Melayu Singapura kini dapat melihat dan menyaksikan aksi aktivis-aktivis seni dikir barat yang menghiburkan melalui media massa yang meluas ini. Sambutan yang baik serta penyertaan belia yang tinggi akan membuat seni dikir barat yang unik ini untuk terus berkembang. Insya-Allah.

{ home }{ about us }{ services }{ freebies }{ contact us }{ guestbook }