Bagaimanapun,
dari segi penyampaian anugerah pula agak berbeza.
Seperti kata penyanyi Asnida Daud, yang mengumumkan
pencalonan, "Eh...macam Grammy pulak. Saya yang
mengeletar"
Sebanyak
tujuh anugerah berupa plak kristal telah disampaikan
dalam majlis jamuan malam yang diserikan oleh persembahan
sketsa dan dihadiri lebih 300 penonton.
Seperti yang biasa dilihat melalui majlis gilang gemilang
Grammy Awards, para aktivitis seni yang selama ini dianggap
sepi diminta menyampaikan sepatah dua kata setelah menerima
anugerah mereka.
Sebahagian daripada mereka mendapati diri diselimuti
emosi yang jelas dapat dilihat melalui nada suara terketar
dan ucapan yang terhenti secara tiba-tiba.
Anugerah kali ini mengiktiraf - Tok Juara Terbaik, Tukang
Karut Terbaik, Paluan Terbaik, Lagu Dikir Terbaik 1997,
Kumpulan Lelaki Terbaik, dan Kumpulan Wanita Terbaik.
Majlis anjuran Jawatankuasa Pengurusan Balai Rakyat
Bedok dengan sokongan Gabungan Kumpulan Dikir Barat
Singapura, mencatat pencalonan terbanyak bagi kategori
anugerah Tok Juara Terbaik.
Bagaimanapun, R. Azman Abdul Rahman, 27 tahun, suami
kepada pelakon Seriwahyuni Jaes, berjaya mengalahkan
sembilan peserta lain untuk merebut anugerah tersebut.
Dalam ucapan ringkasnya, R. Azman melahirkan kesyukuran
di atas kemenangan dan berkata:
"Semoga kita terus berdikir barat dan janganlah
dibesarkan kepala dengan anugerah seumpama ini."
Bagi Penulis Senikata Terbaik, Zaidy Nandir, 24 tahun,
meskipun pernah menerima deretan hadiah dari karyanya,
beliau menyifatkan kemenangan kali ini yang terbaik
sejauh ini.
"Bagi saya ini bukan satu pertandingan tetapi satu
pengiktirafan," katanya.
Apalah lirik tanpa irama...
Kategori Lagu Dikir Terbaik yang menerima enam pencalonan
dimenangi oleh Idham Taal, menerusi lagunya, Satria
Perjuangan.
Lagu ini dipilih kerana keupayaanya meninggalkan kesan
apabila didengar dan dapat dihayati para pendengar.
Bagi Tok Juara Terbaik, Yunos Samad, 23 tahun, yang
mengalahkan lima pencalonan lain, faktor kemenangan
ialah kegigihan dalam latihan.
Namun demikian, majlis yang boleh disifatkan secara
umum sebagai berjaya itu, tidak terlepas dari kecacatan
- ia bermula setengah jam lewat daripada masa yang dijadualkan.
Persembahan slaid selama 15 minit yang mengimbas sejarah
bermula berkembangnya seni dikir barat di Singapura
biarpun bertujuan mendidik, tetapi agak meleret.
Begitu juga sesetengah hadirin yang datang tanpa mengenakan
pakaian tradisional walau sudah tercatit di dalam tiket
masuk.
Kiranya anugerah seperti ini bukan yang pertama dan
terakhir.
Ia bakal menjadi acara tahunan.
back to top